SALAM PERKENALAN

Teks Oleh : Siti Maisarah Bt Mohd Yusof

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Perkenalan. Saya Siti Maisarah Bt Mohd Yusof. Saya lebih suka dikenali sebagai Sara. Saya merupakan anak sulung daripada 8 orang adik beradik. Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung bukanlah perkara yang senang. Seusai usia saya 10 tahun lagi saya telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga adik dan membantu ibu melakukan kerja rumah. Tanggungjawab yang diberikan telah menjadikan saya individu yang sangat bertanggungjawab dalam melakukan apa jua bidang yang saya ceburi.

Saya bukanlah berasal dari keluarga yang susah. Bukan juga dari keluarga yang senang. Kehidupan saya hanyalah sederhana. Kedua ibubapa saya merupakan guru. Tugas mereka sebagai guru banyak membantu membina peribadi saya pada hari ini. Ibu dan ayah saya sentiasa memberikan nasihat, sokongan dan motivasi yang berterusan sehingga terbentuk peribadi saya sebagai manusia yang tidak mudah putus asa. Terima kasih Mama & Abah kerana mendidik anakmu ini dengan sabar.

Tiada istilah gagal dalam hidup. Ibu dan ayah tak pernah membezakan anak-anak mereka. Tiada istilah anak yang pandai dan anak yang kurang cerdik. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, ibu dan ayah pasti akan meraikan kami tanpa mengambil kira keputusan yang diperolehi. Ayah katakan pada kami " Macam mana sekalipun keputusan kami ia patut dihargai kerana itu penat lelah kami." Sikap kedua ibubapa saya ini telah menjadikan kami adik beradik tidak pernah merasa rendah diri dan putus asa malah ia menjadikan kami anak yang sentiasa positif dan bermotivasi untuk mencapai matlamat kami.

Alhamdullilah, didikan ibu dan ayah telah membantu saya mengatasi kekangan dan halangan dalam kehidupan saya sehingga kini walaupun menghadapi pelbagai halangan. Kini, saya telah memegang jawatan dalam sektor kerajaan. Alhamdullilah, berkat dengan sokongan dari mereka. Saya mengorak langkah dari sehari ke sehari. Hari ini, saya telah mengorak satu langkah baru untuk membina empayar perniagaan online. Bermula pada tahun 2011, bisnes online pertama saya ialah Dropship baju kurung ready made sehingga ke maxi dress. Saya seringkali rasa putus asa namun entah dari mana datangnya kekuatan saya masih meneruskan minat saya dalam bidang ini. 2013, kemudiaannya saya beralih kepada barang-barang penyusuan bayi, saya masih rasa jiwa saya tidak sesuai dengan perniagaan ini sehinggalah saya ditawarkan menjadi agen Bengkung Moden Cesarean. Terlibat dengan perniagaan ini bukan sahaja menjadikan saya dahagakan ilmu. Setiap hari saya mencari petua-petua dan cara-cara untuk membantu pelanggan saya.  Saya tidak pernah berhenti untuk mencari ilmu tidak kira ilmu berkait dengan cesarean tetapi juga ilmu untuk membantu mengembangkan perniagaan saya. Alhamdullilah.

Hari ini dengan izin Allah, akhirnya saya diberi peluang untuk menuntut ilmu yang tak ternilai harganya dari Puan Anys Idayu bagi membantu mengembangkan perniagaan saya. Semoga ilmu yang beliau kongsikan ini dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Insyaallah.